UPM Diberi Mandat Lahirkan Graduan Terajui Sektor Pertanian Pintar | OFFICE OF DEPUTY VICE CHANCELLOR (INDUSTRY AND COMMUNITY RELATIONS)
» NEWS » UPM Diberi Mandat Lahirkan Graduan Terajui Sektor Pertanian Pintar

UPM Diberi Mandat Lahirkan Graduan Terajui Sektor Pertanian Pintar

Ahmad Masrizal ketika mengadakan Program Jerayawara ke Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. - Foto Facebook Kementerian Pengajian Tinggi

 

SHAH ALAM - Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi mandat oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad untuk membangunkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pertanian Pintar bagi melahirkan graduan yang bakal menerajui sektor pertanian pintar negara.

Menurut Ahmad Masrizal, sehubungan itu, UPM memberi fokus kepada lima strategi utama iaitu memacu pertanian berteknologi tinggi, membangun karektor graduan UPM, melagang kampus pintar dan pendigitalan, mendukung kelestarian institusi mapan serta menatang pembudayaan norma baharu bagi memperkukuhkan hasrat sebagai menara ilmu yang disegani.

“Pertanian berteknologi tinggi ini melibatkan penggunaan dron dan sistem pertanian pintar serta kecerdasan buatan (AI).

“Ia juga menggunakan data raya dengan peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu rintang penyakit dan berdaya tahan tinggi dari kesan perubahan iklim serta amalan agronomik mapan.

“Saya amat berpuas hari dengan usaha UPM dalam usaha menyahut hasrat kerajaan dalam mendukung agenda pendigitalan melalui beberapa inisiatif dan strategi pelaksanaan kampus pintar bagi tempoh 2021 hingga 2025 meliputi Digital Learning, Smart Manage, Secure Campus serta IoT Application,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, semua inisiatif tersebut akan dijenamakan dengan nama Smart PUTRA.

Tambah beliau, ia adalah langkah proaktif UPM dan setiap universiti harus berusaha mendepani cabaran semasa dan lingkungan yang melanda negara masa ini melalui intervensi program atau kursus yang boleh ditawarkan kepada pelajar.

“Program atau kursus yang ditawarkan penting kepada kebolehpasaran graduan setelah mereka menamatkan pengajian kelak dan universiti harus bijak memastikan program yang ditawarkan selari dengan kehendak pasaran.

“Antara bidang pengajian yang mempunyai kadar kebolehpasaran yang baik ialah kejuruteraan, pembuatan, pembinaan, sains, matematik, computer, kesihatan, perniagaan, perundangan, sains sosial dan pendidikan.

“Ia menunjukkan bahawa program yang ditawarkan oleh IPT (institusi pengajian tinggi) tempatan sebenarnya boleh diyakini mampu berdaya saing,” ujarnya.

Jelas Ahmad Masrizal, beliau turut dimaklumkan berkaitan cabaran ketika menghadapi pandemik Covid-19 dan penerangan Inisiatif Putra Cakna oleh UPM dalam membantu warga universiti yang terkesan.

“Program yang diterajui bersama oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM bermatlamat meningkatkan kesejahteraan warga UPM dalam mendepani situasi mencabar ini secara komprehensif dan inklusif.

https://www.sinarharian.com.my

Date of Input: 13/10/2021 | Updated: 13/10/2021 | wanarlindiana

MEDIA SHARING

OFFICE OF DEPUTY VICE CHANCELLOR (INDUSTRY AND COMMUNITY RELATIONS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1005
03-8941 4196
SXDdSAv~