Penyelidik UPM Hasikan 700 Produk Sanitasi Tangani Covid-19 | PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT)
» BERITA » Penyelidik UPM hasikan 700 produk sanitasi tangani Covid-19

Penyelidik UPM hasikan 700 produk sanitasi tangani Covid-19

Hand sanitizer
 
 
 
 

SERDANG – Sekumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menghasilkan 700 produk sanitasi tangan untuk mencegah penyebaran virus Covid-19 dengan menggunakan formulasi gel lidah buaya.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Mohd Razif Harun berkata, proses penghasilan produk cecair sanitasi tangan di Makmal Perisian Bahan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan itu tercetus berikutan jangkitan virus Covid-19 yang melanda negara dan cecair itu sangat sukar diperoleh di pasaran.

Jelas beliau, selain gel lidah buaya, produk itu menggunakan air ternyah ion, alkohol ternyah asli dan minyak pati semula jadi seperti lavender, lemon, campuran pati minyak semula jadi, peppermint dan minyak kayu (tea tree).

"Minyak ini ditambah dalam campuran berkenaan kerana berpotensi melawan bakteria dan kuman serta menghalang jangkitan.

“Produk UPM ini sesuai untuk kegunaan orang ramai. Ia telah teruji di makmal UPM dan terbukti boleh membasmi kuman serta mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pasukan kami berjaya mengeluarkan sebanyak 703 botol kandungan 30 mililiter (ml) dan 50 botol bagi kandungan 300ml. Jumlah pengeluaran berdasarkan permintaan dan kesediaan bahan mentah.

“Cuma buat masa ini, kami telah menghentikan operasi pengeluaran kerana menggunakan semua peruntukan yang diberi dan fasiliti sedia ada. Sekiranya ada pihak luar yang ingin mengkomersilkan produk ini, kami mengalu-alukan kerja sama kerana memerlukan peruntukan, staf sepenuh masa dan fasiliti yang lebih besar,” katanya di sini semalam.

Kumpulan pengeluaran produk itu terdiri daripada Profesor Madya DrNorhafizah Abdullah, Dr Dayang Radiah Awang Biak, Dr Mohd Yusof Harun, Shafizah Masuri, Nurhazirah Ismail, Norhasliza Hasan, Adli Nazri Mohd Kassim, Maslinda Abdullah dan Norisham Abdul Wahab.

Sementara itu Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesot Ir Ts Dr Nor Kamariah Nordin berkata, usaha kumpulan tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan saingan permintaan pensanitasi tangan yang amat berkurangan di pasaran negara.

“Produk ini bukan untuk dijual tetapi digunakan untuk kegunaan dalaman kampus seperti lokasi tumpuan sekitar Fakulti Kejuruteraan terutamanya di kaunter pejabat dan lif sebagai langkah pencegahan awal kepada warga fakulti,” ujar beliau.

Beliau berkata, terdapat juga permintaan dalaman untuk produk ini yang bukan untuk tujuan pengkomersialan daripada Persatuan Pentadbir UPM (PPUPM), Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset (PPPAUPM) dan staf UPM.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/76808/KHAS/Koronavirus/Penyelidik-UPM-hasikan-700-produk-sanitasi-tangani-Covid-19?fbclid=IwAR22mYePC3lg3qYl9kxGV2ng8OMi1PCrO7-UqUuRGf2EZeas0a_D4g9NF_o

Tarikh Input: 01/04/2020 | Kemaskini: 01/04/2020 | wanarlindiana

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1005
03-8941 4196
SXEUAAq~