Inisiatif 'Universiti Untuk Masyarakat' Di Pulau Tuba | PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT)
» ARTIKEL » Inisiatif 'Universiti Untuk Masyarakat' di Pulau Tuba

Inisiatif 'Universiti Untuk Masyarakat' di Pulau Tuba

 

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Kementerian Pendidikan membentuk Jawatankuasa Induk U4S sebagai pemandu yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Jawatankuasa Pelaksana U4S dalam kalangan Pengarah, Pusat Jaringan Komuniti di 20 universiti awam (UA) dibentuk bagi merealisasikan inisiatif ini.

 

U4S dirangka untuk menggalakkan pemindahan ilmu berkualiti berasaskan kesarjanaan yang dijana di UA kepada komuniti berkeperluan dengan bermatlamatkan kepada kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

 

Kementerian Pendidikan selaku pemegang taruh inisiatif ini berpendapat misi ketiga UA perlu diangkat menjadi agenda penting dengan cara memperluaskan dan memperkukuhkan pengetahuan masyarakat awam dengan menyediakan kepakaran, pembelajaran dan kemahiran daripada UA.

 

Ini akan memberi kesan langsung kepada masyarakat dalam bentuk perubahan pengetahuan (ilmu), sikap, kemahiran dan aspirasi.

 

Selaras dengan konsep pembangunan komuniti, kepelbagaian ahli komuniti dibaratkan dengan kolaborasi dua inisiatif besar Kementerian Pendidikan, iaitu Service Learning Malaysia-U4S (SULAM) yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus akademik dengan khidmat atau jaringan komuniti dan inisiatif Sekolah Ku Universiti Ku (SKUK), iaitu usaha menggalakkan mahasiswa dan universiti untuk membantu menambah baik pembangunan akademik di sekolah terpilih mengikut bidang dan keupayaan masing-masing.

 

U4S berkonsepkan libatsama menggunapakai model Quadraplehelix antara UA, agensi kerajaan dan badan berkanun, industri yang relevan dan kumpulan sasar utama, iaitu komuniti terpilih. Untuk itu, pelaksanaan pada 2020 akan membabitkan aktiviti di komuniti terpilih yang akan dilaksanakan mengikut zon.

 

Sebagai contoh, mini pelancaran U4S@Zon Utara yang menyaksikan pembabitan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) akan diadakan pada 27 dan 28 Februari di Pulau Tuba.

 

UUM sebagai ketua zon utara menjadi universiti penyelaras dengan dibantu UPM selaku universiti peneraju U4S.

 

Pulau Tuba dipilih kerana ia pulau kedua terbesar selepas Pulau Langkawi dengan keluasan 20 kilometer kaki persegi dan mempunyai kira-kira 5,000 orang penduduk yang majoritinya nelayan dan petani.

 

Ia bersebelahan dengan Pulau Dayang Bunting. Terdapat tujuh kampung dengan 444 rumah, sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di Pulau Tuba. Pembangunan Pulau Tuba juga didokong Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan beberapa agensi lain seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar serta pelbagai pihak industri atas usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

 

Berdasarkan audit keperluan komuniti yang dijalankan, sebanyak sembilan projek pemindahan ilmu akan dilaksanakan di Pulau Tuba. Antaranya, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pendidikan Sains, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) yang disasarkan kepada kanak-kanak dan belia yang bersekolah.

 

Bagi peningkatan sosio-ekonomi penduduk projek tanaman padi polibag organik, aquanom, iaitu kombinasi tanaman sayuran dan penternakan ikan, ternakan ayam kampung serta penghasilan cendawan sedang dan akan diusahakan pada tahun ini.

 

Selain projek utama bagi peningkatan ekonomi, projek sampingan yang berteraskan keusahawanan akan dilaksanakan berfokus kepada ahli komuniti yang dikenal pasti. Antara projek ialah Projek Anyaman Kraftangan, Projek Co & Coal, iaitu penghasilan arang berkualiti dari tempurung kelapa dan Projek Digital Language E-Manual yang membabitkan kemahiran komuniksi dengan pihak luar serta Projek Keusahawanan Digital bagi tujuan pemasaran produk ahli komuniti.

 

Pembangunan komuniti melalui kepakaran sarjana daripada ilmu yang dijana di universiti memerlukan sokongan dan libatsama agensi dan industri yang aktif mendekati komuniti setempat melalui peranan mereka yang tertentu.

 

Bagi U4S@ZonUtara ini, agensi terbabit termasuklah Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, KEDA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara.

 

Kementerian Pendidikan mensasarkan 1,000 penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting yang akan mendapat manfaat dari program ini.

 

Sehubungan itu, beberapa instrumen penilaian impak U4S dibangun bagi mengukur peningkatan sosioekonomi serta pengetahuan, kemahiran, sikap dan aspirasi peserta program.

 

Jaringan komuniti menjadi salah satu indikator pencapaian UA. Oleh itu, setiap UA merancang dan melaksanakan pelbagai projek pengembangan melalui pemindahan ilmu di komuniti terpilih dan mengikut kepakaran masing-masing.

 

Namun U4S memberi impak lebih tinggi kerana program dilaksanakan adalah gabungan pelbagai kepakaran daripada beberapa UA untuk komuniti yang sama secara bersepadu.

 

Inisiatif U4S ini menjulang tinggi agenda peranan besar universiti yang dilihat sebagai menyediakan solusi terhadap permasalahan dihadapi masyarakat. Lantaran itu, kajian dan inovasi oleh akademia dimanfaatkan komuniti demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama masyarakat Malaysia.

 

Mini pelancaran U4S@ZonUtara Timbalan Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan akan diadakan di Dewan Komuniti Pulau Tuba, bermula dari 9 pagi hingga 6 petang Jumaat ini yang membabitkan pameran inovasi produk komuniti UA, 6 sesi pemindahan ilmu, dan lawatan projek komuniti di sekitar Pulau Tuba. Orang ramai dijemput hadir.

Penulis ialah Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tarikh Input: 28/02/2020 | Kemaskini: 28/02/2020 | wanarlindiana

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR (JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1005
03-8941 4196
SXDdWAB~